TENANGKANLAH HATI DENGAN MENIKMATI ALUNAN SYAHDU BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN!

Isnin, 25 Februari 2013

Bungaku Taman Duniaku


Ummi suka bunga!!!  Sangat-sangat suka!!! Memang dalam taman hati Ummi sentiasa ada bunga. Taman-taman bunga mekar yang segar menjadi penghias impian dan khayalan Ummi...  




Beransur-ansur Ummi cuba realisasikannya dalam dunia realiti Ummi.  Semoga anak-anak Ummi juga bahagia menghayati taman kecil yang terhias di sudut-sudut dalam rumah kita, kerana.... aura taman ini sebenarnya menjadi harapan dan doa Ummi untuk kita bersama di taman Firdausi nanti, InsyaAllah...!





Bungaku Taman Duniaku menjadi ayat indah Ummi untuk meluahkan rasa hati dek keterujaan Ummi pada jambangan-jambangan yang digubah.  




Biarpun tidak secantik dan semolek penggubah profesional tapi keseronokan menyusun atur bunga-bunga itu memberi kepuasan yang tidak terkata...




Masa-masa yang ada kini amat berharga untuk Ummi isikan dengan minat yang tersimpan sejak dahulu lagi...  




Alhamdulillah, terasa tenang dan bahagia pabila melihat sudut-sudut rumah dihiasi jambangan bunga inspirasi hati Ummi..!





Memang banyak modalnya untuk memenuhi minat ini tapi, kepuasan melihat dan memilikinya mengatasi segalanya...  







Cukuplah selama ini Ummi hanya mampu melihat keindahan jambangan bunga di rumah orang lain tapi kini, Ummi rasanya sudah mampu untuk menghias sudut-sudut yang ada bagi memberi ketenangan di hati Ummi, Ayah dan anak-anak Ummi... Rumahku Adalah Surga Duniaku!!! 


Jumaat, 19 Oktober 2012

Syukur Atas Nikmat Ini

Syukur, Alhamdulillah sampai juga hajat Ummi untuk memilikinya...!  Syukur sangat-sangat kerana Allah telah izinkan untuk Ummi pinjam.  Pinjam seketika, sementara menghirup udara yang diberiNya ini.  Semoga dengan pinjaman yang diberkanNya ini akan menambah TAQWA Ummi kepadaNya...  Ya Allah, peliharalah Aku,  Jauhilah Aku dari rasa riak dan taqbur...  Jagailah perilaku daripada menyakiti manusia lain dengan pemberiaanMu ini...  Engkaulah tempatku mohon perlindungan...  


Sekali lagi, terima kasih ya Allah!!!


Dapat juga Ummi akhirnya!


Nombor febret Ayah...!  


Hmm..mm.. harap anak-anak Ummi juga nanti 
pilih nombor nie,  senang ingat...


Syukur pada Allah kerana beri peluang Ummi dan Ayah bawa anak-anak jalan dengan selesa setelah puas terseksa berhimpit dalam satu kereta suatu masa dahulu...  Tapi semuanya itu satu perjalanan hidup yang mendidik anak-anak Ummi menghargai nikmat yang Allah beri kerana apabila kita pernah susah, kita tentunya amat sedar dengan keselesaan yang diberi,  Semoga anak-anak Ummi sentiasa bersyukur...


"Empat perkara yg membawa kebahgiaan kepada manusia iaitu memiliki isteri yang solehah, rumah yang bagus, jiran yang baik dan KENDERAAN yang bagus"  (HADIS RIWAYAT IBNU HIBBAN)

Sesungguhnya memang Ummi mengharapkan dengan kenderaan ini, Ummi dan Ayah dapat memenuhi hajat anak-anak yang tertangguh dan tertunggak lebih empat tahun yang lalu kerana Ummi terpaksa kuliah semasa cuti sekolah.  Terima kasih anak-anakku kerana mengorbankan enjoi cuti sekolah untuk Ummi...  Lepas nie Ummi akan cuba tebus keceriaan, keriangan dan kebahgiaan semasa cuti sekolah.  Kita cuba gunakan ruang masa yang diberiNya ini berjalan, melihat dan menghargai keindahan alam bumi Allah ini, tapi,.... tengok bajet le dulu... he...he...he...


Ahad, 15 Januari 2012

Kereta Impian


Ummi amat suka kereta ini...!!! Entahlah..., kenapa dan mengapa Ummi sukakannya...! Mungkinkah akan tiba masanya..., atau tunggulah masanya....!


Anak-anakku sekelian,

Bolehkah..., mampukah..., layakkah..., sesuaikah..., atau salahkah..., Ummi membelinya??? Adakah Ummi seorang egois??? Atau..., adakah Ummi terlalu riak??? Atau..., takbur??? Atau.., adakah Ummi lupa akhirat yang menjanjikan kereta lebih baik??? Ummi sedar, mungkin begitulah pada pandangan zahir manusia tetapi..., apabila Ummi rasa sudah tiba masanya kemampuan dan keperluan Ummi, lebih-lebih lagi apabila ayah kalian yang cadangkan..., adakah Ummi masih tidak layak??? Setelah 24 tahun penat bekerja..., setelah mengharungi pelbagai kesusahan..., setelah keperluan mengatasi ketiadaan..., setelah Allah beri Ummi kelebihan rezki..., salahkah Ummi ingin merasai keselesaan ini??? Harap-harap Allah pelihara hati Ummi dan semoga tercapailah impian Ummi nie....!!!

Sabtu, 7 Januari 2012

TERBAIK DARI ANAS...!


Terima kasih Anas kerana dapat jawapan Knape? Ummi harap, Anas sucikan dan ikhlaskan niat..., bukan saja untuk menghafal tetapi untuk mengingat, memahami, menghayati, mengamali, dan mencarigali ilmu pengajaran yang terdapat dalam qalamulLah...! Jadilah manusia yang kaya dan sarat dengan ilmu dunia yang semestinya tidak lari dari ilmu akhirat kerana kedua-dua ilmu ini perlu dikutip selari...!

Mengenang memori akademikmu seawal sekolah rendah sebenarnya, Ummi amat letih dan penat dengan pelbagai karenah yang anakku seorang ini timbulkan...!!! Dari darjah satu Anas tak mahu masuk kelas. Jenuh Ummi dengar komplen Cikgu Wan Harison, tak mau belajar, tak siap kerja sekolah, tak peduli teguran dan pelbagai sikap yang begitu mencabar kesabaran... tapi Ummi sentiasa positif, sentiasa meminta cikgu Wan Harison mendidik dan membimbing Anas seadanya kerana ketika itu, Ummi mengajar pagi sedangkan Anas sesi petang. Kadang-kadang Ummi terfikir kesian Anas yang perlukan perhatian lebih, sedangkan Ummi terpaksa fokus pada tugas dan tanggungjawab semasa, lebih-lebih lagi diamanahkan memegang kelas terbaik PTS. Tiga tahun berlalu akhirnya Anas naik Tahun 4, banyak perubahan juga peningkatanmu. Ummi sentiasa bersama sehinggalah tamat Tahun 6. Walaupun result UPSR tidak membanggakan, tapi Ummi dan Ayah tetap percaya Anas boleh mendapat lebih baik!

Pancaroba keremajaan mengganggu fokusmu, tapi Ummi tidak pernah putus asa...! Ummi yakin Anas boleh lepasi semuanya meskipun penuh ranjaunya... Ummi tetap positif dan pasti, berkat doa ikhlas dari ibu dan ayahmu ini Anas mampu meraih kecemerlangan...! Biarpun PMR belum dapat Anas buktikannya..., biarpun orang lain mengganggap Anas seorang budak yang bermasalah, biarlah mereka dengan tanggapan itu..., biarlah..., biarlah..., kerana Ummi tahu kelebihan anak Ummi! Ummi dan Ayah percaya corak yang cuba kami lukiskan pada kain putih yang berulangkali dibersihkan ini, InsyaAllah akhirnya akan terhasil juga keindahannya...! Keindahan yang tersendiri..., memaparkan kesenian pada jalinan yang diadunkan...! Ummi dan Ayah sentiasa berdoa untuk menghasilkan anak-anak yang soleh, anak yang berada di landasan yang betul, landasan sirotholmustaqim selaras melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan ini...!

Disamping doa dan tiupan semangat daripada ibu ayah yang yakin dan percaya kemampuan dan kebolehan anaknya, akhirnya Anas buktikan dalam SPM, Anas jadi antara pelajar yang terbaik di Maahad...! Anas dapat tawaran ke UM(AI,Nilampuri) IPG(PI,Bangi), PUO(KU,Ipoh) dan lainnya tapi cukup Ummi syukur atas pilihanmu...! Tidak Ummi sangka, anakku memilih untuk jadi Al-Hafiz (DQ,Intim). Terima kasih Anas, kerana mahu menghapaz Al-Quran yang menjadi nadi dalam kehidupan ini, terima kasih kerana berniat menjadi hupaz yang mantap...! Terima kasih kerana memahami harapan impian Ummi Ayah...! Mudah-mudahan niat dan cita-citamu untuk jejakkan jua kaki ke bumi anbia akan tercapai...! Anas telah bahagiakan hati Ummi dengan Ayah dengan pilihanmu itu. Walaupun tidaklah sehebat mana pada pandangan orang lain tapi bagi kami berdua Anas hebat, hebat dalam bidangnya!

Pesanan Ummi dan Ayah, suci bersihkanlah niatmu supaya sentiasa ikhlas menghapaz, menuntut ilmu daripada Qalam Allah ini! Ingat dan amalkanlah ayat-ayat Quran yang Anas hapaz, ikut, hayati dan terjemahkanlah panduan yang Al-Quran gariskan melalui akhlakmu, pastikan dirimu menjadi insan yang soleh taat tawadhuk! Gunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk berdakwah, mengajak manusia kembali bertaqwa, menjadi hamba Allah yang sentiasa sedar tentang amanah yang diberi!!!

Doa Ummi, InsyaAllah hidupmu akan sentiasa dimulia dan diberkati! Ummi dan Ayah amat bangga dengan Anas! Kami sayang kamu! Untukmu dan anak-anak Ummi yang lainnya..., cuba ambil pengajaran dan teladan terbaik dari budak seumur sepuluh tahun ini! Cukup Ummi dan ayah kagumi dan bercita-cita punyai anak-anak sehebat ini...!


Selasa, 30 November 2010

I Love Living Life. I Am Happy.

Anak-anakku.., ambillah semangat manusia ini dalam menempuh kehidupanmu...!

Rabu, 14 Julai 2010

Khas Buat Kak Yong (Nur Syarah Zulaikha) ...!

"Kak Yong idola adik-adik...!"

Sebenarnya dari segi agama, kata "idola" ini tidak patut kita gunakan..., tetapi bagi memudahkan pemahaman dan penerimaan adik-adik Kak Yong, Ummi rasa tidak salah digunakan selagi tidak sampai kepada maksud asal timbulnya kata ini iaitu "pemujaan". Ummi gunakan kata ini hanya sekadar untuk membangkitkan semangat belajar adik-adik Kak Yong...! Sengaja Ummi dan ayah guna kata ini hanya semata-mata menambah rasa cemburu adik-adik Kak Yong kerana sememangnya Ummi tahu mereka tidak menyukainya...! Samada mereka tidak suka kerana maksud yang tersirat maupun tersurat, yang pasti Ummi tahu mereka tidak mahu dibayangi dengan keunggulan Kak Yong, sedangkan mereka ada kekuatan sendiri terutamanya adik pertama Kak Yong, Ammar!

"Kak Yong sumber inspirasi adik-adik...!"

Walaupun adik-adik Kak Yong menafikannya, tetapi Ummi tetap mengatakan Kak Yong adalah sumber inspirasi adik-adik...! Seawal dilahirkan sehinggalah dua puluh tahun sudah berlalu, Ummi dan Ayah akan pastikan Kak Yong mendapat segala yang terbaik..., kerana Ummi percaya kebaikan dan kesempurnaan anak yang sulung akan menjadi punca ikutan adik-adik...! Kebijaksanaan, kelengkapan akhlak dan kehebatan kakak mereka sudah tentu mampu menarik adik-adik mengambil contoh terbaik itu! Kak Yong berjaya lompat kelas (PTS), cemerlang UPSR, PMR dan SPM sebenarnya menjadi puncak impian yang semestinya adik-adik mengapainya!

"Kak Yong asas penggerak adik-adik...!"

Apa saja yang Kak Yong lakukan, sebenarnya menjadi asas penggerak kepada adik-adik tanpa mereka sedari. Setiap kali pelajaran adik-adik merosot, Ummi akan sebut kelebihan dan cara Kak Yong belajar kerana bagi Ummi, cara Kak Yong adalah cara belajar pelajar cemerlang...! Ummi akan pastikan adik-adik tidak malu bertanya, cari kelemahan atau kemahiran yang belum dikuasai, dan yang penting tidak kedekut ilmu...! Ajarilah kawan-kawan kalau kita sudah tahu, kerana kita tidak rugi apa-apa malahan ilmu kita akan lebih bertambah...! Semuanya ini menjadi tunjang kejayaan Kak Yong selama ini...! Ummi amat bangga dengan Kak Yong kerana didikan seorang guru yang juga ibumu ini tidak disia-siakan...!

"Kak Yong sempadan terbaik adik-adik...!

Ummi dan Ayah selalu berpesan, jagalah akhlak dan ingat Allah sepanjang masa...! Walau bagaimana hebat pun anak Ummi..., tapi masih lagi tidak sempurna apabila tidak bergerak bersama Al-Quran dan As-Sunnah...! Jaga aurat, ikut syariat dan lakukan sesuatu kerana Allah semata-mata, akan mengundang keberkatan dalam kehidupan...! Seawalnya lagi Ummi sudah cukup bersyukur apabila Kak Yong ditawarkan ke Usim meskipun target sebelumnya ke Mesir! Apalah lagi yang kurang apabila Bahasa Arab, hafazan Al-Quran, ilmu hadis dan syariah juga dipelajari disamping ilmu perubatan...! Semuanya ini menjadi landasan yang sentiasa bermain di bibir Ummi untuk adik-adikmu contohi...! Kak Yong yang mulakan..., Kak Yong yang rintis dan tarah jalannya...! Dan akhirnya Ammar betul-betul ikut landasan yang Kak Yong rentasi..., tetapi cabarannya pastilah berbeza...! Mudah-mudahan Anas, Aisyah dan Muaz pun akan melaluinya...! Ingat dan pahatkan di hati ayat keramat Ummi dan Ayah ini..., "Cemerlang dunia, cemerlang akhirat...!"
"Selamat Hari Lahir anakku...,
Ummi dan Ayah sayang Kak Yong...!"


Rabu, 12 Mei 2010

Indahnya Bait-bait Ini...!

Anak-Anakku...,

Bacalah..., dan fahamilah..., bait-bait senikata lagu ini.....! Sesungguhnya..., terlalu indah ungkapan-ungkapannya..., dan amat menusuk jiwamu..., jika benar anak-anakku luhur menghayatinya...!

Meskipun saat ini, Ummi tahu ada antara kalian yang tidak peduli dan ambil kisah tentang maksud yang tersirat..., tetapi Ummi percaya suatu hari nanti anak-anak Ummi pasti mengakuinya...! Dan saat itu, pastinya kalian sudah dewasa, berjiwa merdeka dan sudah berjaya...! Sedangkan Ummi semakin tua, membilang usia sudah tiada berdaya...!

Semoga Allah kurniakan Ummi, anak-anak yang soleh...! Yang taat perintah Allah, berjaya di dunia dan berjaya di akhirat yang kekal abadi...! Ummi sentiasa doakan anak-anak Ummi dipelihara dan diberkatiNya...! Pada Allah Ummi serahkan...!




Jasa Bonda


Kau dibuai mimpi ia jaga..., kau bersenang dia bekerja...!
Untukmu tiada terbatas..., memberi tak minta dibalas...!
Ingin dibinanya untukmu..., kehidupan yang sempurna...!
Punya kekuatan jiwa..., punyai maruah...!


Leterannya dari rasa luhur..., menegur sebelum terlanjur...!
Itulah yang diwarisi..., pesan ibu terpahat di hati...!
Beringat-ingatlah berpesan-pesan..., untuk kebaikan...!
Marah bukan kebencian..., tapi tanda sayang...!


Engkau semakin dewasa..., berjiwa merdeka...!
Sedang dia semakin tua..., membilang usia...!
Di saat kau berjaya..., dia tiada berdaya...!
Semoga kau tak lupa..., jasa bonda...!

Anak-anakku,

"Hari Ibu" ialah..., setiap hari-hari yang berlalu dan mendatang kepada seorang anak yang soleh...! Hari-hari ialah "Hari Ibu", bukan khusus pada satu hari ini sahaja...! Setiap masa dan saat menjadi hari seorang ibu kepada anaknya... Anak-anak perlu sentiasa ambil tahu dan ucapkan rasa kasih sayang kepada ibu sepanjang masa..........!!! Berilah hadiah ingatan setiap hari dan luahkanlah rasa sayang sepanjang masa, wahai anak-anak Ummi...!!!

Sabtu, 16 Januari 2010

Kenangan Muaz di Maahad Tahfiz Al-Ansori


Tidak sabar rasanya nak berjumpa dengan Muaz. Ummi dan Ayah sampai lebih kurang pukul 7.30 pagi. Aduhai..., sejuknya hati melihat wajah Muaz yang hansem dengan jubah dan serban dan yang mahal tu, celaknya...! Nampaknya badan Muaz susut sikit, almaalum le sebulan makan tidak mengikut selera sendiri. Tapi, Ummi percaya lepas seminggu nanti tentu naik balik pekena roti tampal Kedai Pak Wan... he.... he...he.....!

Sayunya hati melihat Muaz dan kawan-kawannya yang sedang menunggu ibu bapa datang mengambil untuk dibawa ke Masjid Negeri Perak untuk Majlis Penyampaian Sijil.

Selamat tinggal Maahad Tahfiz Al-Ansori. InsyaAllah, tahun depan mungkin Muaz datang lagi.!

Terima kasih kepada kawan yang membantu Muaz mengangkat beg, nanti kita jumpa kat Masjid Negeri, okey...!

Majlis akan disempurnakan oleh Dato' Hj. Sheikh Mohd Nor B. Mansur Al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Sejuk hati melihat anak-anak yang khusyuk mendengar taklimat.

Wajah-wajah suci bersih, anak-anak yang ikhlas menerima didikan bagi menyempurnakan harapan ibu dan bapa...!

Wajah anak Ummi yang comel tu, Muaz Mujahid...!

Tuan Pengarah tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat penting dan mewakilkan Ustaz Muzammil menyampaikan sijil.

Barisan pelajar yang mengikuti program Tahfiz dengan sijil masing-masing.

Muaz bersama orang kuat Maahad Tahfiz Al-Ansori, Ustaz Azahari dan anaknya Adam.

Muaz dapat hamper special daripada Ummi. Terima kasih anakku kerana tabah mengharungi cabaran bagi melengkapkan diri menjadi anak yang soleh, InsyaAllah...!

Ahad, 27 Disember 2009

Terima Kasih Ammar Kerana...


Ammar,

Ummi baru baca posting Ammar. Memang sekarang pun Ammar buat Ummi nangis... Tapi, nangis bangga..., gembira kerana anakku dah mula memahami apa dan mengapa Ummi dan ayah berusaha memberi peluang Ammar mengisi masa-masa yang terlalu berharga untuk dibuang...!

Memang Ummi tahu dan sedar, anak Ummi terpaksa mengharungi pelbagai masalah dan kesukaran tetapi..., kerana hati dan jiwa anak Ummi yang suci ikhlas untuk mendapatkan ilmu, InsyaAllah..., Ummi amat percaya segala kesukaran itu akan menjadi pengalaman yang terlalu bernilai untuk anak Ummi harungi kehidupan di masa depan.

Ammar,

Mengapa Ummi mahu Ammar jadi doktor juga macam Kak Yong? Tak perlulah Ummi jawab lagi kerana Ummi dah jawab dulu, cuma..., ketahuilah Ummi dan Ayah cuba tunjukkan jalan dan beri rasionalnya berdasarkan kemampuan yang anak Ummi miliki...! Kejam dan zalimlah Ummi apabila memaksa anak melakukan sesuatu di luar kemampuan mereka tetapi..., bodoh dan bengonglah Ummi Ayah apabila membiarkan anak tidak betul memilih kerjayanya...! Ummi dan Ayah tahu, Ammar dan Kak Yong mampu dan hebat!

Mengapa doktor, bukan jurutera, bukan akauntan, arkitek, loyer, cikgu atau lain-lain yang setarafnya...? Memang Ammar pernah "give up"....! Bukan maksud Ummi kerja yang lain itu tidak elok, tidak baik atau tidak sesuai! Tetapi Ummi mahu Ammar berhadapan terus dengan masyarakat, menyelami, merasai dan memahami realiti masyarakat yang memerlukan khidmat serta bantuan! Ummi mahu Ammar juga Kak Yong terlibat dan bertanggungjawab terhadap dunia di sekeliling tanpa rasa cuak atau hipokrit...!

Ummi dan Ayah juga melihat kurangnya lelaki Melayu dalam bidang ini, sedangkan Ammar anak Ummi berkelayakan dan boleh ke arah itu...! Bukan mudah, bukan senang, bukan boleh cakap dan minta...! Dan jauh sekali bukan kerana ingin berbangga kedua anak bakal menjadi doktor...! Ummi akui walaupun rasa itu sentiasa datang yang terlalu susah ditepis, bukan..., bukan..., bukan...!!! Semuanya itu bergantung dengan kesanggupan dan kemampuan anak Ummi... Jika ditakdirkan dulu Ammar tidak sanggup dan mampu, kami tidak boleh memaksa...! Alhamdulillah Ammar dan Kak Yong telah memilih dan sedang bergerak ke arah itu...! Mudah-mudahan Ammar dan terus berjaya sampai ke puncaknya! Doa Ummi dan Ayah sentiasa mengiringi anak-anak Ummi..!

Ammar,

Ibu mana yang mahu dan sanggup anaknya susah? Hanya ibu yang tiada kasih sayang dan tidak sedar dirinya sebagai hamba Allah sahaja yang tidak prihatin terhadap anak-anaknya...! Kasih sayang setiap orang berbeza mengikut prinsip dan pegangan hidupnya! Pada Ummi dan Ayah kasih sayang kami mestilah disertai dengan rasa ketaqwaan kepada Allah.

Kami mahu kasih dan sayang kami sentiasa diberkati dengan anak-anak yang soleh dan bertaqwa. Untuk mendapat soleh dan taqwa itu, Ummi dan Ayah perlu cekalkan hati dan lupakan kesengsaraan yang perlu dilalui...! Jangan fikir Ummi sengaja menyeksa anak-anak tanpa ada belas, sedangkan tahukah kalian Ummi amat terseksa menanggungnya...! Tetapi, demi ilmu dan kelebihannya, Ummi begitu tegar mengharunginya disamping Ummi pasti anak Ummi pun begitu...!

Ammar,

Ketahuilah..., Ummi amat perit apabila meletak dan meninggal Ammar di Pengkalan Hulu dulu...! Beberapa kali Ummi menangis apabila mengenangkan kesusahan yang terpaksa Ammar tempuhi. Ayahmu hanya membiarkan Ummi menangis sepuas hati kerana mungkin dengan cara itu fikirnya akan melegakan Ummi. Memang, memang betul! Itulah cara Ummi apabila berhadapan dengan situasi yang sebegini.... Dan setelah itu hati Ummi akan menjadi pasrah dan redha...!

Kejayaan tidak akan datang bergolek...! Kebahgiaan bukan senang diperolehi...! Kejayaan dan kebahgiaan akan datang setelah kita lalui banyak peringkat kesusahan...! Yang penting hati kita perlu fokus dan ikhlas terhadap apa yang kita impikan...! Pokok yang ditanam itu, akan berakar, berbatang, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah apabila sentiasa dibajai dengan kesungguhan dan keikhlasan...! Buah yang manis itu terhasil daripada siraman taqwa sipemiliknya...!

Ammar,

Anak-anak adalah harta yang amat berharga pada Ummi dan Ayah! Tetapi harganya itu bergantung dengan ketinggian ilmu dan taqwa anak-anak...! Ummi dan Ayah amat percaya, apabila ilmu diberi sempurna dunia dan akhirat, sudah tentu anakku waras menilai kebaikan atau keburukan. Ummi dan ayah sentiasa berusaha untuk memberi selengkap mungkin ilmu kepada anak-anak kerana peluang mendapatkan ilmu itu hanya sekali..., kalau terlepas dan terlajak amat payah untuk digapai...!

Lihatlah Ummi dan Ayah, terpaksa berhempas pulas merebut sisa-sisa usia demi melengkapkan diri dengan ilmu, sedangkan sepatutnya di usia kalianlah kami lakukan...! Kami ketinggalan dan tiada peluang, tetapi kami tetap positif kerana kami percaya hanya dengan ilmulah kita lebih berharga...! Menyedari kekurangan dan kemampuan kami itulah, Ummi dan Ayah berazam memastikan anak-anak mendapat semua peluang sebelum terlambat...!

Ammar,

Ummi tulis posting ini sebenarnya Ummi mahu Ammar, Kak Yong, Anas, Aisyah dan Muaz baca dan faham... Ummi dan ayah amat sayangkan kalian...! Setiap masa dan waktu, Ummi sentiasa doakan kebaikan untuk anak-anak Ummi...! Ummi sentiasa mahu anak-anak Ummi diberkati...! Ummi sentiasa pohonkan peliharaan dan lindungan Allah terhadap anak-anak Ummi. Ummi amat berharap anak-anak Ummi memahami bahawa disebalik teguran, leteran dan tindakan Ummi itu, terkandung hikmahnya yang Ammar sendiri telah temui dan Ummi percaya Kak Yong juga begitu...! Harapan Ummi, semoga adik-adik Ammar juga nanti menemuinya..!

Terima kasih Ammar kerana... memahami Ummi dan Ayah...!

Khamis, 24 Disember 2009

Ummi Dapat Hadiah

"Ada seseorang beri hadiah!" Kata Ayah kepada Ummi.

"Mana? Apa hadiahnya?"

"Ni...", Ayah tunjukkan kepada Ummi.

"He...eleh..., ni bukan hadiah, ni surat!" Tetapi hati Ummi tetap berdegup dan mengharapkan sesuatu yang mungkin dapat mengurangkan tekanan ini! Ya, memang inilah yang Ummi harapkan... Surat... Surat dari Muaz...!

Ummi teruja untuk membacanya...! Yang peliknya, tarikh surat itu 12.12.09 (Sabtu) tapi, ngapa sekarang baru Ummi dapat? Tanya ayah, macamana dapat surat tu? Ayah kata dalam kotak surat! Ah..., tak kisahlah macamanapun, yang pasti Ummi nak tau rasa hati Muaz!

"Assalamualaikum, Sudah dua minggu lebih, Muaz duduk dekat Maahad Tahfiz Al-Ansori. Muaz rindu sangat dekat Ummi. Ummi jangan risaau dekat sini semua orang baik-baik. Ustazah dan Ustaz pun baik dan tegas. Muaz telah dapat didikan yang bagus di sini". Ayat-ayat Muaz ini amat melegakan hati Ummi. Ummi bangga dengan Muaz...

"Ummi sayang Muaz, Ummi mahu Muaz jadi anak yang baik, bijak, dan soleh! Ummi mahu Muaz lengkap ilmu dunia akhirat, mahu Muaz ikut Kak Yong dan Abang Ammar, kaya dengan ilmu, jadi ulamak besar satu hari nanti. Muaz mesti tempuh susah, Muaz mesti tabah menghadapi segala cabaran! Muaz mesti mula dari sekarang... Muaz seorang yang kuat dan hebat!" Inilah bisikan terakhir Ummi subuh itu sebelum Muaz mendaftar dan Ummi pula pergi periksa. Muaz mengangguk dalam pelukan erat Ummi. Ummi amat pasrah ketika itu, dan kini Ummi mendambakan hasil daripada harapan itu!

Mengharungi saat ini, teringat Ummi ketika menghantar kali pertama Kak Yong ke asrama! Sepanjang jalan pulang Ummi menangis teresak-esak, risau dan bimbangkan anak yang tidak pernah berpisah sedari lahir. Sepanjang perjalanan dan perkembangan hidup Kak Yong sehingga 12 tahun sentiasa bersama Ummi, di depan mata Ummi, bergurau senda dengan adik-adik di rumah, di sekolah berada dalam kelas Ummi bermula dari enam tahun lagi, hatta Kak Yong lompat kelas (PTS) pun Ummi ikut dan turut melompat ke Tahun 5...! Cukup sayang dan prihatinnya Ummi pada anak yang pertama ini...! Aduhai... seminggu yang berlalu itu terlalu seksa Ummi menanggungnya sehinggalah Ummi dapat jumpa semula Kak Yong dan bertanya, "Kak Yong tak rindu Ummi ke?"

Tau tak, apa Kak Yong jawab? "Rindu...! Tapi Kak Yong tak nangis macam orang lain, Kak Yong akan pergi belakang pintu dan nangis di situ. Dah puas, Kak Yong keluar...!" O..oo..., gitu ke...? Adakah Muaz juga gitu? Ummi tahu, Muaz pun begitu kerana apabila naluri seorang ibu begitu, begitu jugalah naluri anaknya, terbukti dengan surat Muaz ini yang ditulis ketika mana hati Ummi amat rindukan Muaz!

Tanpa disedari, airmata Ummi mengalir keluar apabila membaca ayat, "Ummi, hari Ahad dan Sabtu, Ummi tak belajarkan, jadi hari Sabtu atau Ahad Ummi datang bawa baju T-shirt dan seluar jalan. Berlogo dan bergambar tak apa Pakcik tak marah. Tolong bawa biskut Tiger, Munchy's atau Lexus ataupun semua sekali, lagi banyak lagi bagus. Sampai di sini saja Muaz hendak tulis. Assalamualaikum".

Teringat Ummi semasa di rumah Muaz sentiasa aje lapar. Muaz pernah berpesan nak bawa dua tin biskut tapi rupanya Ayah tidak belikan sebab Muaz pun tak minta padanya. Ummi rasa juga terkilan, tetapi betul juga kata Ayah Muaz, inilah masa untuk melatih dan mentarbiah Muaz. Kalau ada biskut nanti, Muaz akan makan biskut dan tidak makan dalam talam bersama kawan-kawan...! Ya..., harap-harap banyak hikmahnya yang Muaz dapat!

Yang paling mahal, walaupun Muaz dah sampai ke penutupnya, "Kejap-kejap ada lagi. Sebelum Muaz terlambat, baik lagi Muaz orang pertama mengucapkan "SELAMAT HARI LAHIR".

Terima kasih Muaz. Inilah hadiah pertama yang Ummi dapat daripada anak bungsu Ummi. Ummi amat hargainya...! InsyaAllah, lima hari lagi kita jumpa....!

p/s : Ummi akan upload surat Muaz kemudian kerana scanner Ummi ada masalah!

Khamis, 17 Disember 2009

Mengapa Ummi Rindu Muaz...?

Muaz......,

Ummi amat rindukan Muaz! Ummi betul-betul rasa nak jumpa Muaz, nak tanya macam-macam pada Muaz...! Rasa hati Ummi begitu melonjak ingin mengetahui bagaimana keadaan Muaz sekarang? Seronok ke tak, atau bagaimana Muaz hadapi hari- hari yang berlalu? Adakah anakku bersemangat seperti di awalnya?

Sejujurnya, Ummi amat bangga dengan Muaz...! Amat mengagumi semangat yang Muaz miliki...! Alhamdulillah...! Begitulah semangat yang patut anak Ummi punyai...! Teringat Ummi pada Abang Ammar. Dulu dia pun macam Muaz, sedari kecil inginkan ilmu agama...! Meskipun tahu kesusahan yang terpaksa ditempuhi, tetapi demi ilmu akhirat, demi melengkapkan diri menjadi anak yang soleh, insan yang kamil, kesusahan dan kepayahan tetap ditempuhi...!

Terasa diri kekurangan, minta dicarikan tempat belajar! Mantapkanlah bacaan Al-Quran, tambahkanlah ilmu di dada... ! Sejuknya hati ibu yang mengandungkanmu wahai anakku, jika betul Muaz mampu berubah...! Yang pasti, Ummi mahu Muaz perbaiki sahsiah dan akhlak supaya bahagia dunia dan akhirat.

Teruskan anakku...! Hadapilah apa-apa dugaan dan cabaran kerana segala rintangan itu akan lebih meningkatkan ketakwaaan anakku kepada Allah S.W.T...! Inilah harapan dan doa Ummi untuk semua anak-anak Ummi...!

Muaz.....,

Ummi amat rindukan Muaz....! Maafkan Ummi kerana tidak dapat hantar Muaz tempohari! Kadang-kadang Ummi terasa juga bersalahnya kerana tidak langsung dapat bersama Muaz berada di hari pendaftaran. Tapi, apalah daya Ummi...., Ummi terpaksa lupakan seketika masalah atau hal-hal lain, kerana ada lagi yang lebih penting...!

Sedang Muaz sibuk mengumpul barang dan mengemas beg subuh itu, Ummi pula terlalu sibuk menela’ah, cuba mengingat kembali apa yang patut untuk ditulis dalam dewan peperiksaan...! Ya Muaz, Ummi hendak menghadapi periksa akhir semester...! Azam Ummi, Ummi mesti lulus sekurang-kurangnya..., kerana Ummi tidak mahu tercicir dari kawan-kawan...! Kalau Ummi gagal, Ummi terpaksa mengulang, dan banyak lagi masalah lain yang akan timbul, Muaz juga akan susah kerana terpaksa tunggu lama lagi Ummi selesai belajar...!

Muaz.....,

Sekarang ni, Ummi lega sikit, Walaupun kuliah dari pagi sampai ke malam, asigment sudah datang menimbun, letih BIG (Perkhemaahan Bina Insan Guru yang wajib bagi memenuhi kredit belajar Ummi) pun tak hilang lagi..., Ummi amat teringatkan Muaz...! Dulu. Sewaktu Kak Yong, Abang Ammar dan Abang Anas masih kecil pergi program sebulan, Ummi tidak terasa sangat kerana Ummi boleh jenguk mereka setiap minggu....! Tapi sekarang, Muaz yang masih kecil baru 10 tahun, dah hampir tiga minggu Ummi tidak berjumpa....!

Apa khabar anakku...? Muaz tau..., pagi petang Ummi melalui penginapan Muaz, mata Ummi tidak pernah lupa menoleh dan menjejaki bayangan Muaz...! Ummi ingin singgah menemui Muaz tapi Ummi bimbang nanti Muaz nak ikut balik pula, jadi sabarlah tunggu hingga hujung bulan ini, sepuluh hari lagi...!

Muaz.....,

Beginilah hati seorang ibu terhadap anak-anaknya....! Meskipun mungkin anak-anak tidak nampak atau terasa kasih sayang ibu, tetapi ketahuilah....., kasih sayang itu bukan dengan diberi atau ditonjolkan kesenangan dan keselesaan kepada anak-anak, tetapi ketahanan hati, kecekalan melatih anak-anak menanggung kepayahan itulah nilai kasih sayang Ummi...!

Ummi mahu anak-anak Ummi senang dan selesa di kemudian hari, rasa bahagia dengan ilmu yang lengkap dunia akhirat...! Biar susah, payah, sedih, marah, benci, penat sekarang tapi...., anak Ummi akan kaya dengan kebaikan di suatu hari nanti, InsyaAllah...!

Inilah harapan dan impian Ummi kepada kelima-lima anak Ummi...! Ilmulah tunggak segala-galanya...! Ambillah maksud yang tersirat disebalik umur setua Ummi ini juga mampu belajar, mengutip ilmu profesional walaupun sudah hampir di penghujung kerjaya...! Sanggup tempuh susah menerima segala cabaran, semata-mata untuk meraih ilmu sedangkan semuanya sudah dipunyai...! Hanya Tuhan yang tahu kekuatan dan kelemahan hambaNya...! Apa yang penting, kita tidak mudah mengalah selagi kita melalui jalan kebenaranNya...!

Muaz.....,

Mengapa Ummi rindukan Muaz...? Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar pun tiada bersama Ummi tak rindupun...? Siapa kata...? Siapa kata...? Ummi tetap rindukan keduanya, cuma tidaklah seteruk rindukan Muaz...! Sebenarnya bukan sebab apa, mungkin sebab Muaz masih kecil...! Dan sebab Ummi langsung tiada berita tentang Muaz...! Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar, Ummi boleh telefon atau skype dengan mereka...!

Ummi langsung tidak dapat melihat tingkahlaku, mendengar suara, menghayati luahan emosi Muaz yang terkenal tu....! Kata orang, rindu yang sebenarnya ialah apabila kita tidak dapat berhubung langsung maupun berjumpa...! Jadi, itulah agaknya sebab Ummi terlalu rindukan Muaz...!

Pengajarannya anakku, rebutlah peluang sewaktu bersama-sama keluarga itu sebaik mungkin..., kerana kita tidak tahu bila masa Allah akan panggil kita..., kerana apabila kita mati nanti..., terpaksa tunggu Allah panggil semuanyalah baru kita dapat berkumpul semula ...! Itupun sudah di alam lain, di alam yang kita sudah tidak ambil peduli lagi tentang rindu...!

Semoga Muaz dapat dan pegang sesuatu yang terbaik selepas berada di Pusat Tahfiz Al-Ansori selama sebulan nanti..., mudah-mudahan..., InsyaAllah...!

Jumaat, 9 Oktober 2009

Muaz Ibnu Razak


Hensem dan machonya....! Anak bungsu Ummi bergaya pada pagi Hari Raya Eidul Fitri yang lalu...! Hai...,ini baru 10 tahun..., tunggulah 10 tahun lagi..., kalah abang Anas dan Abang Ammar...!

Ahad, 20 September 2009

Sabtu, 12 September 2009

Kematian Pasti Datang...!

Anak-anakku,



Kematian sahabat menyebabkan Ummi terfikir, bagaimana dan apakah akan terjadi kepada anak-anak Ummi yang selama ini rungsing dengan leteran dan teguran Ummi apabila Ummi sudah tiada...! Mungkinkah ada anak-anak Ummi akan merasa lega dan lapang apabila tiada lagi sesiapa menegur dan menghalang apa yang hendak dilakukan nanti! Ummi tahu, Ayah kalian juga akan menegur tetapi..., adakah teguran itu memberi kesan kepada kalian? Ummi tahu, Ayah kalian terlalu baik, terlalu memahami kalian... Mungkin...


Anak-anakku,


Menyedari dengan suara Ummi sudah tidak mampu melunakkan nyanyian yang mengasyikkan, Ummi beralih ke petikan keybord. Ummi cuba meluah, mencurah lagu hati, menggarap inspirasi keibuan, membelai jiwa anak-anak Ummi melalui tulisan. Lebih-lebih lagi, sebenarnya inilah media yang paling sesuai dan tepat bagi Ummi meninggalkan wasiat kepada anak-anak Ummi...! Sementara Ummi diizinkan Allah bernafas, sementara Ummi dapat menumpang di dunia yang fana ini, Ummi akan gunakan sebaik mungkin melorek kehidupan mengikut keredhaan Allah dan berharap anak-anak Ummi mengambil manfaatnya, InsyaAllah!


Anak-anakku,


Kematian pasti datang! Sebelum tiba saat itu, lengkapkanlah diri sepenuhnya supaya nanti apabila kita dijemputnya kita benar-benar bersedia...! Bagi Ummi, kematian sahabat Ummi baru-baru ini, amat menyedarkan Ummi tentang kelebihan dan peranan besar seorang ibu kepada anak-anaknya! Sungguh menjadi pengajaran buat Ummi yang terlalu leka dan lalai ini! Sebenarnya, kita masih belum terlambat..., kita masih ada masa dan ruang waktu, wahai anak-anakku! Gunakanlah masa dan ruang itu! Bersedialah anak-anakku, sebelum Allah menguji kita!

Rabu, 9 September 2009

Khas Buat Anak-anak Ummi...!


Blog ini diwujudkan khas buat anak-anak Ummi yang sentiasa dekat di hati dan juga sesiapa sahaja yang ingin mengambil infonya sebagai motivasi.

Semoga paparan dalam blog ini nanti akan menjadi panduan dan sempadan kepada anak-anak Ummi bagi menjalani kehidupan yang hanya sementara ini!

Semoga anak-anak Ummi sentiasa mendapat keberkatan di bawah lindungan kasih sayang Allah. Semoga sentiasa dipelihara Allah walau di mana sekalipun anak-anak Ummi berada.

Semoga anak-anak Ummi sentiasa mengambil ingatan atas pesanan dan harapan yang akan Ummi titipkan nanti.

Bacalah..., hayatilah..., ikuti dan sematkanlah..., wahai anak-anakku. Inilah luahan hati seorang ibu yang amat mengasihi kalian...!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelawat Ummi