TENANGKANLAH HATI DENGAN MENIKMATI ALUNAN SYAHDU BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN!

Memaparkan catatan dengan label Muaz. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muaz. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Januari 2010

Kenangan Muaz di Maahad Tahfiz Al-Ansori


Tidak sabar rasanya nak berjumpa dengan Muaz. Ummi dan Ayah sampai lebih kurang pukul 7.30 pagi. Aduhai..., sejuknya hati melihat wajah Muaz yang hansem dengan jubah dan serban dan yang mahal tu, celaknya...! Nampaknya badan Muaz susut sikit, almaalum le sebulan makan tidak mengikut selera sendiri. Tapi, Ummi percaya lepas seminggu nanti tentu naik balik pekena roti tampal Kedai Pak Wan... he.... he...he.....!

Sayunya hati melihat Muaz dan kawan-kawannya yang sedang menunggu ibu bapa datang mengambil untuk dibawa ke Masjid Negeri Perak untuk Majlis Penyampaian Sijil.

Selamat tinggal Maahad Tahfiz Al-Ansori. InsyaAllah, tahun depan mungkin Muaz datang lagi.!

Terima kasih kepada kawan yang membantu Muaz mengangkat beg, nanti kita jumpa kat Masjid Negeri, okey...!

Majlis akan disempurnakan oleh Dato' Hj. Sheikh Mohd Nor B. Mansur Al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Sejuk hati melihat anak-anak yang khusyuk mendengar taklimat.

Wajah-wajah suci bersih, anak-anak yang ikhlas menerima didikan bagi menyempurnakan harapan ibu dan bapa...!

Wajah anak Ummi yang comel tu, Muaz Mujahid...!

Tuan Pengarah tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat penting dan mewakilkan Ustaz Muzammil menyampaikan sijil.

Barisan pelajar yang mengikuti program Tahfiz dengan sijil masing-masing.

Muaz bersama orang kuat Maahad Tahfiz Al-Ansori, Ustaz Azahari dan anaknya Adam.

Muaz dapat hamper special daripada Ummi. Terima kasih anakku kerana tabah mengharungi cabaran bagi melengkapkan diri menjadi anak yang soleh, InsyaAllah...!

Khamis, 24 Disember 2009

Ummi Dapat Hadiah

"Ada seseorang beri hadiah!" Kata Ayah kepada Ummi.

"Mana? Apa hadiahnya?"

"Ni...", Ayah tunjukkan kepada Ummi.

"He...eleh..., ni bukan hadiah, ni surat!" Tetapi hati Ummi tetap berdegup dan mengharapkan sesuatu yang mungkin dapat mengurangkan tekanan ini! Ya, memang inilah yang Ummi harapkan... Surat... Surat dari Muaz...!

Ummi teruja untuk membacanya...! Yang peliknya, tarikh surat itu 12.12.09 (Sabtu) tapi, ngapa sekarang baru Ummi dapat? Tanya ayah, macamana dapat surat tu? Ayah kata dalam kotak surat! Ah..., tak kisahlah macamanapun, yang pasti Ummi nak tau rasa hati Muaz!

"Assalamualaikum, Sudah dua minggu lebih, Muaz duduk dekat Maahad Tahfiz Al-Ansori. Muaz rindu sangat dekat Ummi. Ummi jangan risaau dekat sini semua orang baik-baik. Ustazah dan Ustaz pun baik dan tegas. Muaz telah dapat didikan yang bagus di sini". Ayat-ayat Muaz ini amat melegakan hati Ummi. Ummi bangga dengan Muaz...

"Ummi sayang Muaz, Ummi mahu Muaz jadi anak yang baik, bijak, dan soleh! Ummi mahu Muaz lengkap ilmu dunia akhirat, mahu Muaz ikut Kak Yong dan Abang Ammar, kaya dengan ilmu, jadi ulamak besar satu hari nanti. Muaz mesti tempuh susah, Muaz mesti tabah menghadapi segala cabaran! Muaz mesti mula dari sekarang... Muaz seorang yang kuat dan hebat!" Inilah bisikan terakhir Ummi subuh itu sebelum Muaz mendaftar dan Ummi pula pergi periksa. Muaz mengangguk dalam pelukan erat Ummi. Ummi amat pasrah ketika itu, dan kini Ummi mendambakan hasil daripada harapan itu!

Mengharungi saat ini, teringat Ummi ketika menghantar kali pertama Kak Yong ke asrama! Sepanjang jalan pulang Ummi menangis teresak-esak, risau dan bimbangkan anak yang tidak pernah berpisah sedari lahir. Sepanjang perjalanan dan perkembangan hidup Kak Yong sehingga 12 tahun sentiasa bersama Ummi, di depan mata Ummi, bergurau senda dengan adik-adik di rumah, di sekolah berada dalam kelas Ummi bermula dari enam tahun lagi, hatta Kak Yong lompat kelas (PTS) pun Ummi ikut dan turut melompat ke Tahun 5...! Cukup sayang dan prihatinnya Ummi pada anak yang pertama ini...! Aduhai... seminggu yang berlalu itu terlalu seksa Ummi menanggungnya sehinggalah Ummi dapat jumpa semula Kak Yong dan bertanya, "Kak Yong tak rindu Ummi ke?"

Tau tak, apa Kak Yong jawab? "Rindu...! Tapi Kak Yong tak nangis macam orang lain, Kak Yong akan pergi belakang pintu dan nangis di situ. Dah puas, Kak Yong keluar...!" O..oo..., gitu ke...? Adakah Muaz juga gitu? Ummi tahu, Muaz pun begitu kerana apabila naluri seorang ibu begitu, begitu jugalah naluri anaknya, terbukti dengan surat Muaz ini yang ditulis ketika mana hati Ummi amat rindukan Muaz!

Tanpa disedari, airmata Ummi mengalir keluar apabila membaca ayat, "Ummi, hari Ahad dan Sabtu, Ummi tak belajarkan, jadi hari Sabtu atau Ahad Ummi datang bawa baju T-shirt dan seluar jalan. Berlogo dan bergambar tak apa Pakcik tak marah. Tolong bawa biskut Tiger, Munchy's atau Lexus ataupun semua sekali, lagi banyak lagi bagus. Sampai di sini saja Muaz hendak tulis. Assalamualaikum".

Teringat Ummi semasa di rumah Muaz sentiasa aje lapar. Muaz pernah berpesan nak bawa dua tin biskut tapi rupanya Ayah tidak belikan sebab Muaz pun tak minta padanya. Ummi rasa juga terkilan, tetapi betul juga kata Ayah Muaz, inilah masa untuk melatih dan mentarbiah Muaz. Kalau ada biskut nanti, Muaz akan makan biskut dan tidak makan dalam talam bersama kawan-kawan...! Ya..., harap-harap banyak hikmahnya yang Muaz dapat!

Yang paling mahal, walaupun Muaz dah sampai ke penutupnya, "Kejap-kejap ada lagi. Sebelum Muaz terlambat, baik lagi Muaz orang pertama mengucapkan "SELAMAT HARI LAHIR".

Terima kasih Muaz. Inilah hadiah pertama yang Ummi dapat daripada anak bungsu Ummi. Ummi amat hargainya...! InsyaAllah, lima hari lagi kita jumpa....!

p/s : Ummi akan upload surat Muaz kemudian kerana scanner Ummi ada masalah!

Khamis, 17 Disember 2009

Mengapa Ummi Rindu Muaz...?

Muaz......,

Ummi amat rindukan Muaz! Ummi betul-betul rasa nak jumpa Muaz, nak tanya macam-macam pada Muaz...! Rasa hati Ummi begitu melonjak ingin mengetahui bagaimana keadaan Muaz sekarang? Seronok ke tak, atau bagaimana Muaz hadapi hari- hari yang berlalu? Adakah anakku bersemangat seperti di awalnya?

Sejujurnya, Ummi amat bangga dengan Muaz...! Amat mengagumi semangat yang Muaz miliki...! Alhamdulillah...! Begitulah semangat yang patut anak Ummi punyai...! Teringat Ummi pada Abang Ammar. Dulu dia pun macam Muaz, sedari kecil inginkan ilmu agama...! Meskipun tahu kesusahan yang terpaksa ditempuhi, tetapi demi ilmu akhirat, demi melengkapkan diri menjadi anak yang soleh, insan yang kamil, kesusahan dan kepayahan tetap ditempuhi...!

Terasa diri kekurangan, minta dicarikan tempat belajar! Mantapkanlah bacaan Al-Quran, tambahkanlah ilmu di dada... ! Sejuknya hati ibu yang mengandungkanmu wahai anakku, jika betul Muaz mampu berubah...! Yang pasti, Ummi mahu Muaz perbaiki sahsiah dan akhlak supaya bahagia dunia dan akhirat.

Teruskan anakku...! Hadapilah apa-apa dugaan dan cabaran kerana segala rintangan itu akan lebih meningkatkan ketakwaaan anakku kepada Allah S.W.T...! Inilah harapan dan doa Ummi untuk semua anak-anak Ummi...!

Muaz.....,

Ummi amat rindukan Muaz....! Maafkan Ummi kerana tidak dapat hantar Muaz tempohari! Kadang-kadang Ummi terasa juga bersalahnya kerana tidak langsung dapat bersama Muaz berada di hari pendaftaran. Tapi, apalah daya Ummi...., Ummi terpaksa lupakan seketika masalah atau hal-hal lain, kerana ada lagi yang lebih penting...!

Sedang Muaz sibuk mengumpul barang dan mengemas beg subuh itu, Ummi pula terlalu sibuk menela’ah, cuba mengingat kembali apa yang patut untuk ditulis dalam dewan peperiksaan...! Ya Muaz, Ummi hendak menghadapi periksa akhir semester...! Azam Ummi, Ummi mesti lulus sekurang-kurangnya..., kerana Ummi tidak mahu tercicir dari kawan-kawan...! Kalau Ummi gagal, Ummi terpaksa mengulang, dan banyak lagi masalah lain yang akan timbul, Muaz juga akan susah kerana terpaksa tunggu lama lagi Ummi selesai belajar...!

Muaz.....,

Sekarang ni, Ummi lega sikit, Walaupun kuliah dari pagi sampai ke malam, asigment sudah datang menimbun, letih BIG (Perkhemaahan Bina Insan Guru yang wajib bagi memenuhi kredit belajar Ummi) pun tak hilang lagi..., Ummi amat teringatkan Muaz...! Dulu. Sewaktu Kak Yong, Abang Ammar dan Abang Anas masih kecil pergi program sebulan, Ummi tidak terasa sangat kerana Ummi boleh jenguk mereka setiap minggu....! Tapi sekarang, Muaz yang masih kecil baru 10 tahun, dah hampir tiga minggu Ummi tidak berjumpa....!

Apa khabar anakku...? Muaz tau..., pagi petang Ummi melalui penginapan Muaz, mata Ummi tidak pernah lupa menoleh dan menjejaki bayangan Muaz...! Ummi ingin singgah menemui Muaz tapi Ummi bimbang nanti Muaz nak ikut balik pula, jadi sabarlah tunggu hingga hujung bulan ini, sepuluh hari lagi...!

Muaz.....,

Beginilah hati seorang ibu terhadap anak-anaknya....! Meskipun mungkin anak-anak tidak nampak atau terasa kasih sayang ibu, tetapi ketahuilah....., kasih sayang itu bukan dengan diberi atau ditonjolkan kesenangan dan keselesaan kepada anak-anak, tetapi ketahanan hati, kecekalan melatih anak-anak menanggung kepayahan itulah nilai kasih sayang Ummi...!

Ummi mahu anak-anak Ummi senang dan selesa di kemudian hari, rasa bahagia dengan ilmu yang lengkap dunia akhirat...! Biar susah, payah, sedih, marah, benci, penat sekarang tapi...., anak Ummi akan kaya dengan kebaikan di suatu hari nanti, InsyaAllah...!

Inilah harapan dan impian Ummi kepada kelima-lima anak Ummi...! Ilmulah tunggak segala-galanya...! Ambillah maksud yang tersirat disebalik umur setua Ummi ini juga mampu belajar, mengutip ilmu profesional walaupun sudah hampir di penghujung kerjaya...! Sanggup tempuh susah menerima segala cabaran, semata-mata untuk meraih ilmu sedangkan semuanya sudah dipunyai...! Hanya Tuhan yang tahu kekuatan dan kelemahan hambaNya...! Apa yang penting, kita tidak mudah mengalah selagi kita melalui jalan kebenaranNya...!

Muaz.....,

Mengapa Ummi rindukan Muaz...? Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar pun tiada bersama Ummi tak rindupun...? Siapa kata...? Siapa kata...? Ummi tetap rindukan keduanya, cuma tidaklah seteruk rindukan Muaz...! Sebenarnya bukan sebab apa, mungkin sebab Muaz masih kecil...! Dan sebab Ummi langsung tiada berita tentang Muaz...! Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar, Ummi boleh telefon atau skype dengan mereka...!

Ummi langsung tidak dapat melihat tingkahlaku, mendengar suara, menghayati luahan emosi Muaz yang terkenal tu....! Kata orang, rindu yang sebenarnya ialah apabila kita tidak dapat berhubung langsung maupun berjumpa...! Jadi, itulah agaknya sebab Ummi terlalu rindukan Muaz...!

Pengajarannya anakku, rebutlah peluang sewaktu bersama-sama keluarga itu sebaik mungkin..., kerana kita tidak tahu bila masa Allah akan panggil kita..., kerana apabila kita mati nanti..., terpaksa tunggu Allah panggil semuanyalah baru kita dapat berkumpul semula ...! Itupun sudah di alam lain, di alam yang kita sudah tidak ambil peduli lagi tentang rindu...!

Semoga Muaz dapat dan pegang sesuatu yang terbaik selepas berada di Pusat Tahfiz Al-Ansori selama sebulan nanti..., mudah-mudahan..., InsyaAllah...!

Jumaat, 9 Oktober 2009

Muaz Ibnu Razak


Hensem dan machonya....! Anak bungsu Ummi bergaya pada pagi Hari Raya Eidul Fitri yang lalu...! Hai...,ini baru 10 tahun..., tunggulah 10 tahun lagi..., kalah abang Anas dan Abang Ammar...!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelawat Ummi