TENANGKANLAH HATI DENGAN MENIKMATI ALUNAN SYAHDU BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN!

Ahad, 27 Disember 2009

Terima Kasih Ammar Kerana...


Ammar,

Ummi baru baca posting Ammar. Memang sekarang pun Ammar buat Ummi nangis... Tapi, nangis bangga..., gembira kerana anakku dah mula memahami apa dan mengapa Ummi dan ayah berusaha memberi peluang Ammar mengisi masa-masa yang terlalu berharga untuk dibuang...!

Memang Ummi tahu dan sedar, anak Ummi terpaksa mengharungi pelbagai masalah dan kesukaran tetapi..., kerana hati dan jiwa anak Ummi yang suci ikhlas untuk mendapatkan ilmu, InsyaAllah..., Ummi amat percaya segala kesukaran itu akan menjadi pengalaman yang terlalu bernilai untuk anak Ummi harungi kehidupan di masa depan.

Ammar,

Mengapa Ummi mahu Ammar jadi doktor juga macam Kak Yong? Tak perlulah Ummi jawab lagi kerana Ummi dah jawab dulu, cuma..., ketahuilah Ummi dan Ayah cuba tunjukkan jalan dan beri rasionalnya berdasarkan kemampuan yang anak Ummi miliki...! Kejam dan zalimlah Ummi apabila memaksa anak melakukan sesuatu di luar kemampuan mereka tetapi..., bodoh dan bengonglah Ummi Ayah apabila membiarkan anak tidak betul memilih kerjayanya...! Ummi dan Ayah tahu, Ammar dan Kak Yong mampu dan hebat!

Mengapa doktor, bukan jurutera, bukan akauntan, arkitek, loyer, cikgu atau lain-lain yang setarafnya...? Memang Ammar pernah "give up"....! Bukan maksud Ummi kerja yang lain itu tidak elok, tidak baik atau tidak sesuai! Tetapi Ummi mahu Ammar berhadapan terus dengan masyarakat, menyelami, merasai dan memahami realiti masyarakat yang memerlukan khidmat serta bantuan! Ummi mahu Ammar juga Kak Yong terlibat dan bertanggungjawab terhadap dunia di sekeliling tanpa rasa cuak atau hipokrit...!

Ummi dan Ayah juga melihat kurangnya lelaki Melayu dalam bidang ini, sedangkan Ammar anak Ummi berkelayakan dan boleh ke arah itu...! Bukan mudah, bukan senang, bukan boleh cakap dan minta...! Dan jauh sekali bukan kerana ingin berbangga kedua anak bakal menjadi doktor...! Ummi akui walaupun rasa itu sentiasa datang yang terlalu susah ditepis, bukan..., bukan..., bukan...!!! Semuanya itu bergantung dengan kesanggupan dan kemampuan anak Ummi... Jika ditakdirkan dulu Ammar tidak sanggup dan mampu, kami tidak boleh memaksa...! Alhamdulillah Ammar dan Kak Yong telah memilih dan sedang bergerak ke arah itu...! Mudah-mudahan Ammar dan terus berjaya sampai ke puncaknya! Doa Ummi dan Ayah sentiasa mengiringi anak-anak Ummi..!

Ammar,

Ibu mana yang mahu dan sanggup anaknya susah? Hanya ibu yang tiada kasih sayang dan tidak sedar dirinya sebagai hamba Allah sahaja yang tidak prihatin terhadap anak-anaknya...! Kasih sayang setiap orang berbeza mengikut prinsip dan pegangan hidupnya! Pada Ummi dan Ayah kasih sayang kami mestilah disertai dengan rasa ketaqwaan kepada Allah.

Kami mahu kasih dan sayang kami sentiasa diberkati dengan anak-anak yang soleh dan bertaqwa. Untuk mendapat soleh dan taqwa itu, Ummi dan Ayah perlu cekalkan hati dan lupakan kesengsaraan yang perlu dilalui...! Jangan fikir Ummi sengaja menyeksa anak-anak tanpa ada belas, sedangkan tahukah kalian Ummi amat terseksa menanggungnya...! Tetapi, demi ilmu dan kelebihannya, Ummi begitu tegar mengharunginya disamping Ummi pasti anak Ummi pun begitu...!

Ammar,

Ketahuilah..., Ummi amat perit apabila meletak dan meninggal Ammar di Pengkalan Hulu dulu...! Beberapa kali Ummi menangis apabila mengenangkan kesusahan yang terpaksa Ammar tempuhi. Ayahmu hanya membiarkan Ummi menangis sepuas hati kerana mungkin dengan cara itu fikirnya akan melegakan Ummi. Memang, memang betul! Itulah cara Ummi apabila berhadapan dengan situasi yang sebegini.... Dan setelah itu hati Ummi akan menjadi pasrah dan redha...!

Kejayaan tidak akan datang bergolek...! Kebahgiaan bukan senang diperolehi...! Kejayaan dan kebahgiaan akan datang setelah kita lalui banyak peringkat kesusahan...! Yang penting hati kita perlu fokus dan ikhlas terhadap apa yang kita impikan...! Pokok yang ditanam itu, akan berakar, berbatang, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah apabila sentiasa dibajai dengan kesungguhan dan keikhlasan...! Buah yang manis itu terhasil daripada siraman taqwa sipemiliknya...!

Ammar,

Anak-anak adalah harta yang amat berharga pada Ummi dan Ayah! Tetapi harganya itu bergantung dengan ketinggian ilmu dan taqwa anak-anak...! Ummi dan Ayah amat percaya, apabila ilmu diberi sempurna dunia dan akhirat, sudah tentu anakku waras menilai kebaikan atau keburukan. Ummi dan ayah sentiasa berusaha untuk memberi selengkap mungkin ilmu kepada anak-anak kerana peluang mendapatkan ilmu itu hanya sekali..., kalau terlepas dan terlajak amat payah untuk digapai...!

Lihatlah Ummi dan Ayah, terpaksa berhempas pulas merebut sisa-sisa usia demi melengkapkan diri dengan ilmu, sedangkan sepatutnya di usia kalianlah kami lakukan...! Kami ketinggalan dan tiada peluang, tetapi kami tetap positif kerana kami percaya hanya dengan ilmulah kita lebih berharga...! Menyedari kekurangan dan kemampuan kami itulah, Ummi dan Ayah berazam memastikan anak-anak mendapat semua peluang sebelum terlambat...!

Ammar,

Ummi tulis posting ini sebenarnya Ummi mahu Ammar, Kak Yong, Anas, Aisyah dan Muaz baca dan faham... Ummi dan ayah amat sayangkan kalian...! Setiap masa dan waktu, Ummi sentiasa doakan kebaikan untuk anak-anak Ummi...! Ummi sentiasa mahu anak-anak Ummi diberkati...! Ummi sentiasa pohonkan peliharaan dan lindungan Allah terhadap anak-anak Ummi. Ummi amat berharap anak-anak Ummi memahami bahawa disebalik teguran, leteran dan tindakan Ummi itu, terkandung hikmahnya yang Ammar sendiri telah temui dan Ummi percaya Kak Yong juga begitu...! Harapan Ummi, semoga adik-adik Ammar juga nanti menemuinya..!

Terima kasih Ammar kerana... memahami Ummi dan Ayah...!

Khamis, 24 Disember 2009

Ummi Dapat Hadiah

"Ada seseorang beri hadiah!" Kata Ayah kepada Ummi.

"Mana? Apa hadiahnya?"

"Ni...", Ayah tunjukkan kepada Ummi.

"He...eleh..., ni bukan hadiah, ni surat!" Tetapi hati Ummi tetap berdegup dan mengharapkan sesuatu yang mungkin dapat mengurangkan tekanan ini! Ya, memang inilah yang Ummi harapkan... Surat... Surat dari Muaz...!

Ummi teruja untuk membacanya...! Yang peliknya, tarikh surat itu 12.12.09 (Sabtu) tapi, ngapa sekarang baru Ummi dapat? Tanya ayah, macamana dapat surat tu? Ayah kata dalam kotak surat! Ah..., tak kisahlah macamanapun, yang pasti Ummi nak tau rasa hati Muaz!

"Assalamualaikum, Sudah dua minggu lebih, Muaz duduk dekat Maahad Tahfiz Al-Ansori. Muaz rindu sangat dekat Ummi. Ummi jangan risaau dekat sini semua orang baik-baik. Ustazah dan Ustaz pun baik dan tegas. Muaz telah dapat didikan yang bagus di sini". Ayat-ayat Muaz ini amat melegakan hati Ummi. Ummi bangga dengan Muaz...

"Ummi sayang Muaz, Ummi mahu Muaz jadi anak yang baik, bijak, dan soleh! Ummi mahu Muaz lengkap ilmu dunia akhirat, mahu Muaz ikut Kak Yong dan Abang Ammar, kaya dengan ilmu, jadi ulamak besar satu hari nanti. Muaz mesti tempuh susah, Muaz mesti tabah menghadapi segala cabaran! Muaz mesti mula dari sekarang... Muaz seorang yang kuat dan hebat!" Inilah bisikan terakhir Ummi subuh itu sebelum Muaz mendaftar dan Ummi pula pergi periksa. Muaz mengangguk dalam pelukan erat Ummi. Ummi amat pasrah ketika itu, dan kini Ummi mendambakan hasil daripada harapan itu!

Mengharungi saat ini, teringat Ummi ketika menghantar kali pertama Kak Yong ke asrama! Sepanjang jalan pulang Ummi menangis teresak-esak, risau dan bimbangkan anak yang tidak pernah berpisah sedari lahir. Sepanjang perjalanan dan perkembangan hidup Kak Yong sehingga 12 tahun sentiasa bersama Ummi, di depan mata Ummi, bergurau senda dengan adik-adik di rumah, di sekolah berada dalam kelas Ummi bermula dari enam tahun lagi, hatta Kak Yong lompat kelas (PTS) pun Ummi ikut dan turut melompat ke Tahun 5...! Cukup sayang dan prihatinnya Ummi pada anak yang pertama ini...! Aduhai... seminggu yang berlalu itu terlalu seksa Ummi menanggungnya sehinggalah Ummi dapat jumpa semula Kak Yong dan bertanya, "Kak Yong tak rindu Ummi ke?"

Tau tak, apa Kak Yong jawab? "Rindu...! Tapi Kak Yong tak nangis macam orang lain, Kak Yong akan pergi belakang pintu dan nangis di situ. Dah puas, Kak Yong keluar...!" O..oo..., gitu ke...? Adakah Muaz juga gitu? Ummi tahu, Muaz pun begitu kerana apabila naluri seorang ibu begitu, begitu jugalah naluri anaknya, terbukti dengan surat Muaz ini yang ditulis ketika mana hati Ummi amat rindukan Muaz!

Tanpa disedari, airmata Ummi mengalir keluar apabila membaca ayat, "Ummi, hari Ahad dan Sabtu, Ummi tak belajarkan, jadi hari Sabtu atau Ahad Ummi datang bawa baju T-shirt dan seluar jalan. Berlogo dan bergambar tak apa Pakcik tak marah. Tolong bawa biskut Tiger, Munchy's atau Lexus ataupun semua sekali, lagi banyak lagi bagus. Sampai di sini saja Muaz hendak tulis. Assalamualaikum".

Teringat Ummi semasa di rumah Muaz sentiasa aje lapar. Muaz pernah berpesan nak bawa dua tin biskut tapi rupanya Ayah tidak belikan sebab Muaz pun tak minta padanya. Ummi rasa juga terkilan, tetapi betul juga kata Ayah Muaz, inilah masa untuk melatih dan mentarbiah Muaz. Kalau ada biskut nanti, Muaz akan makan biskut dan tidak makan dalam talam bersama kawan-kawan...! Ya..., harap-harap banyak hikmahnya yang Muaz dapat!

Yang paling mahal, walaupun Muaz dah sampai ke penutupnya, "Kejap-kejap ada lagi. Sebelum Muaz terlambat, baik lagi Muaz orang pertama mengucapkan "SELAMAT HARI LAHIR".

Terima kasih Muaz. Inilah hadiah pertama yang Ummi dapat daripada anak bungsu Ummi. Ummi amat hargainya...! InsyaAllah, lima hari lagi kita jumpa....!

p/s : Ummi akan upload surat Muaz kemudian kerana scanner Ummi ada masalah!

Khamis, 17 Disember 2009

Mengapa Ummi Rindu Muaz...?

Muaz......,

Ummi amat rindukan Muaz! Ummi betul-betul rasa nak jumpa Muaz, nak tanya macam-macam pada Muaz...! Rasa hati Ummi begitu melonjak ingin mengetahui bagaimana keadaan Muaz sekarang? Seronok ke tak, atau bagaimana Muaz hadapi hari- hari yang berlalu? Adakah anakku bersemangat seperti di awalnya?

Sejujurnya, Ummi amat bangga dengan Muaz...! Amat mengagumi semangat yang Muaz miliki...! Alhamdulillah...! Begitulah semangat yang patut anak Ummi punyai...! Teringat Ummi pada Abang Ammar. Dulu dia pun macam Muaz, sedari kecil inginkan ilmu agama...! Meskipun tahu kesusahan yang terpaksa ditempuhi, tetapi demi ilmu akhirat, demi melengkapkan diri menjadi anak yang soleh, insan yang kamil, kesusahan dan kepayahan tetap ditempuhi...!

Terasa diri kekurangan, minta dicarikan tempat belajar! Mantapkanlah bacaan Al-Quran, tambahkanlah ilmu di dada... ! Sejuknya hati ibu yang mengandungkanmu wahai anakku, jika betul Muaz mampu berubah...! Yang pasti, Ummi mahu Muaz perbaiki sahsiah dan akhlak supaya bahagia dunia dan akhirat.

Teruskan anakku...! Hadapilah apa-apa dugaan dan cabaran kerana segala rintangan itu akan lebih meningkatkan ketakwaaan anakku kepada Allah S.W.T...! Inilah harapan dan doa Ummi untuk semua anak-anak Ummi...!

Muaz.....,

Ummi amat rindukan Muaz....! Maafkan Ummi kerana tidak dapat hantar Muaz tempohari! Kadang-kadang Ummi terasa juga bersalahnya kerana tidak langsung dapat bersama Muaz berada di hari pendaftaran. Tapi, apalah daya Ummi...., Ummi terpaksa lupakan seketika masalah atau hal-hal lain, kerana ada lagi yang lebih penting...!

Sedang Muaz sibuk mengumpul barang dan mengemas beg subuh itu, Ummi pula terlalu sibuk menela’ah, cuba mengingat kembali apa yang patut untuk ditulis dalam dewan peperiksaan...! Ya Muaz, Ummi hendak menghadapi periksa akhir semester...! Azam Ummi, Ummi mesti lulus sekurang-kurangnya..., kerana Ummi tidak mahu tercicir dari kawan-kawan...! Kalau Ummi gagal, Ummi terpaksa mengulang, dan banyak lagi masalah lain yang akan timbul, Muaz juga akan susah kerana terpaksa tunggu lama lagi Ummi selesai belajar...!

Muaz.....,

Sekarang ni, Ummi lega sikit, Walaupun kuliah dari pagi sampai ke malam, asigment sudah datang menimbun, letih BIG (Perkhemaahan Bina Insan Guru yang wajib bagi memenuhi kredit belajar Ummi) pun tak hilang lagi..., Ummi amat teringatkan Muaz...! Dulu. Sewaktu Kak Yong, Abang Ammar dan Abang Anas masih kecil pergi program sebulan, Ummi tidak terasa sangat kerana Ummi boleh jenguk mereka setiap minggu....! Tapi sekarang, Muaz yang masih kecil baru 10 tahun, dah hampir tiga minggu Ummi tidak berjumpa....!

Apa khabar anakku...? Muaz tau..., pagi petang Ummi melalui penginapan Muaz, mata Ummi tidak pernah lupa menoleh dan menjejaki bayangan Muaz...! Ummi ingin singgah menemui Muaz tapi Ummi bimbang nanti Muaz nak ikut balik pula, jadi sabarlah tunggu hingga hujung bulan ini, sepuluh hari lagi...!

Muaz.....,

Beginilah hati seorang ibu terhadap anak-anaknya....! Meskipun mungkin anak-anak tidak nampak atau terasa kasih sayang ibu, tetapi ketahuilah....., kasih sayang itu bukan dengan diberi atau ditonjolkan kesenangan dan keselesaan kepada anak-anak, tetapi ketahanan hati, kecekalan melatih anak-anak menanggung kepayahan itulah nilai kasih sayang Ummi...!

Ummi mahu anak-anak Ummi senang dan selesa di kemudian hari, rasa bahagia dengan ilmu yang lengkap dunia akhirat...! Biar susah, payah, sedih, marah, benci, penat sekarang tapi...., anak Ummi akan kaya dengan kebaikan di suatu hari nanti, InsyaAllah...!

Inilah harapan dan impian Ummi kepada kelima-lima anak Ummi...! Ilmulah tunggak segala-galanya...! Ambillah maksud yang tersirat disebalik umur setua Ummi ini juga mampu belajar, mengutip ilmu profesional walaupun sudah hampir di penghujung kerjaya...! Sanggup tempuh susah menerima segala cabaran, semata-mata untuk meraih ilmu sedangkan semuanya sudah dipunyai...! Hanya Tuhan yang tahu kekuatan dan kelemahan hambaNya...! Apa yang penting, kita tidak mudah mengalah selagi kita melalui jalan kebenaranNya...!

Muaz.....,

Mengapa Ummi rindukan Muaz...? Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar pun tiada bersama Ummi tak rindupun...? Siapa kata...? Siapa kata...? Ummi tetap rindukan keduanya, cuma tidaklah seteruk rindukan Muaz...! Sebenarnya bukan sebab apa, mungkin sebab Muaz masih kecil...! Dan sebab Ummi langsung tiada berita tentang Muaz...! Sedangkan Kak Yong dan Abang Ammar, Ummi boleh telefon atau skype dengan mereka...!

Ummi langsung tidak dapat melihat tingkahlaku, mendengar suara, menghayati luahan emosi Muaz yang terkenal tu....! Kata orang, rindu yang sebenarnya ialah apabila kita tidak dapat berhubung langsung maupun berjumpa...! Jadi, itulah agaknya sebab Ummi terlalu rindukan Muaz...!

Pengajarannya anakku, rebutlah peluang sewaktu bersama-sama keluarga itu sebaik mungkin..., kerana kita tidak tahu bila masa Allah akan panggil kita..., kerana apabila kita mati nanti..., terpaksa tunggu Allah panggil semuanyalah baru kita dapat berkumpul semula ...! Itupun sudah di alam lain, di alam yang kita sudah tidak ambil peduli lagi tentang rindu...!

Semoga Muaz dapat dan pegang sesuatu yang terbaik selepas berada di Pusat Tahfiz Al-Ansori selama sebulan nanti..., mudah-mudahan..., InsyaAllah...!

Jumaat, 9 Oktober 2009

Muaz Ibnu Razak


Hensem dan machonya....! Anak bungsu Ummi bergaya pada pagi Hari Raya Eidul Fitri yang lalu...! Hai...,ini baru 10 tahun..., tunggulah 10 tahun lagi..., kalah abang Anas dan Abang Ammar...!

Ahad, 20 September 2009

Sabtu, 12 September 2009

Kematian Pasti Datang...!

Anak-anakku,



Kematian sahabat menyebabkan Ummi terfikir, bagaimana dan apakah akan terjadi kepada anak-anak Ummi yang selama ini rungsing dengan leteran dan teguran Ummi apabila Ummi sudah tiada...! Mungkinkah ada anak-anak Ummi akan merasa lega dan lapang apabila tiada lagi sesiapa menegur dan menghalang apa yang hendak dilakukan nanti! Ummi tahu, Ayah kalian juga akan menegur tetapi..., adakah teguran itu memberi kesan kepada kalian? Ummi tahu, Ayah kalian terlalu baik, terlalu memahami kalian... Mungkin...


Anak-anakku,


Menyedari dengan suara Ummi sudah tidak mampu melunakkan nyanyian yang mengasyikkan, Ummi beralih ke petikan keybord. Ummi cuba meluah, mencurah lagu hati, menggarap inspirasi keibuan, membelai jiwa anak-anak Ummi melalui tulisan. Lebih-lebih lagi, sebenarnya inilah media yang paling sesuai dan tepat bagi Ummi meninggalkan wasiat kepada anak-anak Ummi...! Sementara Ummi diizinkan Allah bernafas, sementara Ummi dapat menumpang di dunia yang fana ini, Ummi akan gunakan sebaik mungkin melorek kehidupan mengikut keredhaan Allah dan berharap anak-anak Ummi mengambil manfaatnya, InsyaAllah!


Anak-anakku,


Kematian pasti datang! Sebelum tiba saat itu, lengkapkanlah diri sepenuhnya supaya nanti apabila kita dijemputnya kita benar-benar bersedia...! Bagi Ummi, kematian sahabat Ummi baru-baru ini, amat menyedarkan Ummi tentang kelebihan dan peranan besar seorang ibu kepada anak-anaknya! Sungguh menjadi pengajaran buat Ummi yang terlalu leka dan lalai ini! Sebenarnya, kita masih belum terlambat..., kita masih ada masa dan ruang waktu, wahai anak-anakku! Gunakanlah masa dan ruang itu! Bersedialah anak-anakku, sebelum Allah menguji kita!

Rabu, 9 September 2009

Khas Buat Anak-anak Ummi...!


Blog ini diwujudkan khas buat anak-anak Ummi yang sentiasa dekat di hati dan juga sesiapa sahaja yang ingin mengambil infonya sebagai motivasi.

Semoga paparan dalam blog ini nanti akan menjadi panduan dan sempadan kepada anak-anak Ummi bagi menjalani kehidupan yang hanya sementara ini!

Semoga anak-anak Ummi sentiasa mendapat keberkatan di bawah lindungan kasih sayang Allah. Semoga sentiasa dipelihara Allah walau di mana sekalipun anak-anak Ummi berada.

Semoga anak-anak Ummi sentiasa mengambil ingatan atas pesanan dan harapan yang akan Ummi titipkan nanti.

Bacalah..., hayatilah..., ikuti dan sematkanlah..., wahai anak-anakku. Inilah luahan hati seorang ibu yang amat mengasihi kalian...!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelawat Ummi