TENANGKANLAH HATI DENGAN MENIKMATI ALUNAN SYAHDU BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN!

Ahad, 27 Disember 2009

Terima Kasih Ammar Kerana...


Ammar,

Ummi baru baca posting Ammar. Memang sekarang pun Ammar buat Ummi nangis... Tapi, nangis bangga..., gembira kerana anakku dah mula memahami apa dan mengapa Ummi dan ayah berusaha memberi peluang Ammar mengisi masa-masa yang terlalu berharga untuk dibuang...!

Memang Ummi tahu dan sedar, anak Ummi terpaksa mengharungi pelbagai masalah dan kesukaran tetapi..., kerana hati dan jiwa anak Ummi yang suci ikhlas untuk mendapatkan ilmu, InsyaAllah..., Ummi amat percaya segala kesukaran itu akan menjadi pengalaman yang terlalu bernilai untuk anak Ummi harungi kehidupan di masa depan.

Ammar,

Mengapa Ummi mahu Ammar jadi doktor juga macam Kak Yong? Tak perlulah Ummi jawab lagi kerana Ummi dah jawab dulu, cuma..., ketahuilah Ummi dan Ayah cuba tunjukkan jalan dan beri rasionalnya berdasarkan kemampuan yang anak Ummi miliki...! Kejam dan zalimlah Ummi apabila memaksa anak melakukan sesuatu di luar kemampuan mereka tetapi..., bodoh dan bengonglah Ummi Ayah apabila membiarkan anak tidak betul memilih kerjayanya...! Ummi dan Ayah tahu, Ammar dan Kak Yong mampu dan hebat!

Mengapa doktor, bukan jurutera, bukan akauntan, arkitek, loyer, cikgu atau lain-lain yang setarafnya...? Memang Ammar pernah "give up"....! Bukan maksud Ummi kerja yang lain itu tidak elok, tidak baik atau tidak sesuai! Tetapi Ummi mahu Ammar berhadapan terus dengan masyarakat, menyelami, merasai dan memahami realiti masyarakat yang memerlukan khidmat serta bantuan! Ummi mahu Ammar juga Kak Yong terlibat dan bertanggungjawab terhadap dunia di sekeliling tanpa rasa cuak atau hipokrit...!

Ummi dan Ayah juga melihat kurangnya lelaki Melayu dalam bidang ini, sedangkan Ammar anak Ummi berkelayakan dan boleh ke arah itu...! Bukan mudah, bukan senang, bukan boleh cakap dan minta...! Dan jauh sekali bukan kerana ingin berbangga kedua anak bakal menjadi doktor...! Ummi akui walaupun rasa itu sentiasa datang yang terlalu susah ditepis, bukan..., bukan..., bukan...!!! Semuanya itu bergantung dengan kesanggupan dan kemampuan anak Ummi... Jika ditakdirkan dulu Ammar tidak sanggup dan mampu, kami tidak boleh memaksa...! Alhamdulillah Ammar dan Kak Yong telah memilih dan sedang bergerak ke arah itu...! Mudah-mudahan Ammar dan terus berjaya sampai ke puncaknya! Doa Ummi dan Ayah sentiasa mengiringi anak-anak Ummi..!

Ammar,

Ibu mana yang mahu dan sanggup anaknya susah? Hanya ibu yang tiada kasih sayang dan tidak sedar dirinya sebagai hamba Allah sahaja yang tidak prihatin terhadap anak-anaknya...! Kasih sayang setiap orang berbeza mengikut prinsip dan pegangan hidupnya! Pada Ummi dan Ayah kasih sayang kami mestilah disertai dengan rasa ketaqwaan kepada Allah.

Kami mahu kasih dan sayang kami sentiasa diberkati dengan anak-anak yang soleh dan bertaqwa. Untuk mendapat soleh dan taqwa itu, Ummi dan Ayah perlu cekalkan hati dan lupakan kesengsaraan yang perlu dilalui...! Jangan fikir Ummi sengaja menyeksa anak-anak tanpa ada belas, sedangkan tahukah kalian Ummi amat terseksa menanggungnya...! Tetapi, demi ilmu dan kelebihannya, Ummi begitu tegar mengharunginya disamping Ummi pasti anak Ummi pun begitu...!

Ammar,

Ketahuilah..., Ummi amat perit apabila meletak dan meninggal Ammar di Pengkalan Hulu dulu...! Beberapa kali Ummi menangis apabila mengenangkan kesusahan yang terpaksa Ammar tempuhi. Ayahmu hanya membiarkan Ummi menangis sepuas hati kerana mungkin dengan cara itu fikirnya akan melegakan Ummi. Memang, memang betul! Itulah cara Ummi apabila berhadapan dengan situasi yang sebegini.... Dan setelah itu hati Ummi akan menjadi pasrah dan redha...!

Kejayaan tidak akan datang bergolek...! Kebahgiaan bukan senang diperolehi...! Kejayaan dan kebahgiaan akan datang setelah kita lalui banyak peringkat kesusahan...! Yang penting hati kita perlu fokus dan ikhlas terhadap apa yang kita impikan...! Pokok yang ditanam itu, akan berakar, berbatang, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah apabila sentiasa dibajai dengan kesungguhan dan keikhlasan...! Buah yang manis itu terhasil daripada siraman taqwa sipemiliknya...!

Ammar,

Anak-anak adalah harta yang amat berharga pada Ummi dan Ayah! Tetapi harganya itu bergantung dengan ketinggian ilmu dan taqwa anak-anak...! Ummi dan Ayah amat percaya, apabila ilmu diberi sempurna dunia dan akhirat, sudah tentu anakku waras menilai kebaikan atau keburukan. Ummi dan ayah sentiasa berusaha untuk memberi selengkap mungkin ilmu kepada anak-anak kerana peluang mendapatkan ilmu itu hanya sekali..., kalau terlepas dan terlajak amat payah untuk digapai...!

Lihatlah Ummi dan Ayah, terpaksa berhempas pulas merebut sisa-sisa usia demi melengkapkan diri dengan ilmu, sedangkan sepatutnya di usia kalianlah kami lakukan...! Kami ketinggalan dan tiada peluang, tetapi kami tetap positif kerana kami percaya hanya dengan ilmulah kita lebih berharga...! Menyedari kekurangan dan kemampuan kami itulah, Ummi dan Ayah berazam memastikan anak-anak mendapat semua peluang sebelum terlambat...!

Ammar,

Ummi tulis posting ini sebenarnya Ummi mahu Ammar, Kak Yong, Anas, Aisyah dan Muaz baca dan faham... Ummi dan ayah amat sayangkan kalian...! Setiap masa dan waktu, Ummi sentiasa doakan kebaikan untuk anak-anak Ummi...! Ummi sentiasa mahu anak-anak Ummi diberkati...! Ummi sentiasa pohonkan peliharaan dan lindungan Allah terhadap anak-anak Ummi. Ummi amat berharap anak-anak Ummi memahami bahawa disebalik teguran, leteran dan tindakan Ummi itu, terkandung hikmahnya yang Ammar sendiri telah temui dan Ummi percaya Kak Yong juga begitu...! Harapan Ummi, semoga adik-adik Ammar juga nanti menemuinya..!

Terima kasih Ammar kerana... memahami Ummi dan Ayah...!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelawat Ummi